KUCHING 23 Sep - Kerajaan Sarawak mengungkapkan hasratnya untuk menyertai Majlis Tenaga Negara dengan tujuan menyumbang kepada pembentukan dasar strategik peralihan tenaga.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan kepentingan penyertaan Sarawak dalam Majlis Tenaga Negara dan bercadang untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Majlis Tenaga Negara, untuk meneliti permohonan Sarawak untuk menjadi ahli majlis ini.
"Saat ini kita (Sarawak) bukanlah ahli dalam majlis yang bertanggungjawab membentuk dasar tenaga untuk seluruh negara. Sarawak perlu turut serta sebagai ahli kerana kita adalah salah satu wilayah yang sangat menekankan penggunaan tenaga mesra alam atau tenaga hijau," kata beliau.
Beliau menambah bahawa fokus utama Sarawak saat ini adalah membangunkan sepenuhnya tenaga hijau yang berasaskan pelbagai sumber seperti tenaga hidro, solar, angin, dan hidrogen.
"Kita mempunyai teknologi kita sendiri dalam cara kita menghasilkan tenaga diperbaharui sama ada menerusi hidro, solar, angin serta hidrogen dan baru-baru ini ini kita memulakan pendekatan baharu menggunakan biomas iaitu dari sumber pelet kayu,” tambah beliau.
Abang Johari menjelaskan bahwa walaupun Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Ekonomi untuk melantik ahli-ahli Majlis Tenaga Negara baru-baru ini, Sarawak tidak termasuk dalam senarai tersebut.
"Perdana Menteri mengarahkan Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) melantik ahli Majlis Tenaga Negara itu Sabtu lalu, namun Sarawak bukan ahli sebab itu saya meminta agar kita turut disenaraikan," katanya.
Oleh itu, permintaan untuk disenaraikan sebagai ahli adalah langkah yang perlu diambil untuk memastikan bahawa Sarawak dapat memberikan sumbangan penting dalam usaha menuju tenaga hijau dan lestari di Malaysia.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. - Sarawakku
Sumber dari : Sarawakku